Wednesday, 17 September 2014

Novel Rabak!

“Eh, Acik tak balik dengan Damia ke?” Kaku terus kaki di muka pintu. Belum sempat bagi salam, dah kena tanya soalan berkaitan dengan Nurin Damia. Mana pulak perginya dia ni? Dah malam kot.

“Damia tak balik lagi ke Umi? Acik ni dari tempat kerja, tak ada pulak dia suruh jemput.” Memang Nurin Damia tak pernah telefon untuk minta dijemput dari stesen ERL. Biasanya dia akan balik naik bas sampai ke perumahan mereka.

Melihat air muka kerisauan Puan Haliza, terus dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. “Tak payah telefon. Dah banyak kali umi call tadi, tak dapat pun.” Syukri mula tak sedap hati. Tak pernah pulak Damia buat perangai macam ni. Biasanya, dia akan call kalau nak kemana-mana. Takkan larikan diri dari aku kot.

“Umi tunggu kat rumah, kalau dia balik, umi terus call achik. Achik pergi cari dia kat ERL dulu.” Beg kerja yang dibimbit sejak tadi diletakkan di atas sofa. Laju dia berlari keluar. Kalau hilang anak orang, apa dia nak jawab pada ibu dengan ayah. Mau ayah parangnya dia keliling rumah.

“Achik dah solat ke belum? Pergi solat dulu. Nanti kita cari sama-sama.” Abah yang baru turun pula menegur.

“Dah solat dah,” Namun suara itu kedengaran sayup, Syukri dah berada di hadapan pintu keretanya. Puan Haliza hanya memandang anaknya itu di depan pintu. Harap-haraplah Syukri akan balik bersama menantunya nanti.

Kereta yang berhenti betul-betul di hadapan rumahnya itu mencuri tumpuan mereka. 

“Achik, tu pun Damia..” Puan Haliza melepaskan rasa lega yang bertandang dari petang tadi. Syukri yang berada di pintu kereta memandang Damia yang sedang menuju ke arahnya dengan pelik.

“Awak, boleh pinjam duit tak? RM 8. Nak bayar duit teksi.” Macam nak menangis aje muka Damia ni. Sungguh, belum pernah lagi dilihat Nurin Damia dalam keadaan seperti ini.

Tanpa sepatah kata, dompet dari kocek seluar dikeluarkan, kemudian dihulur pula not RM 10. Dalam hatinya sarat dengan soalan namun dia tahu, ini bukan masa yang sesuai. Damia nampak sangat lemah.

“Ni bakinya. Terima kasih.” Persoalan yang ingin dia tahu membuatkan dia mengelamun. Sedar-sedar je, teksi tadi dah pun berlalu, Damia pun dah kembali berdiri di hadapannya. Sambil mengumpul kekuatan, Nurin melangkah ke arah Puan Haliza.

Baru selangkah dia pergi, “Awak ke mana tadi? Kenapa tak call rumah? Macam mana boleh berkaki ayam macam ni? Awak....” Belum sempat dia menghabiskan ayat, Nurin Damia sudah rebah.

“Ya Allah, Miaaa...” Berlari Puan Haliza mendapatkan Nurin.

Syukri masih tegak berdiri kerana terkejut dengan apa yang berlaku. Apabila tersedar akan keadaan yang sebenar, terus dia meluru ke arah Nurin dan mencempung isterinya.

“Bukakkan pintu kereta ni, umi.” Tanpa teragak-agak, terus saja Puan Haliza menurut kemudian Syukri meletakkan Damia di tempat duduk belakang. Dia yakin ada perkara buruk telah terjadi . Kalau tak, takkan lah dahi Nurin luka dan sebab itu juga dia terus nak bawa Damia ke klinik. Nak tunggu Damia yang buka mulut dan bercerita kepadanya dengan rasa senang hati, memang mustahil.

“Macam mana dengan isteri saya doktor?” Dipandangnya Doktor Aminah macam nak telan. 

“Apa sebenarnya yang terjadi, Puan?” Tanpa menghiraukan soalan si suami, terus Doktor Aminah tanya pada pesakit yang seorang ini. Hanya tuan empunya badan saja yang boleh menceritakan apa yang terjadi kepadanya. 

Melihatkan Damia melepaskan keluhan yang berat, Syukri mencapai tangan Damia kemudian menggenggamnya kuat. Maafkan saya, Damia. Kalaulah saya selalu ada dengan awak.

Damia hanya membiarkan perlakuan Syukri. Sedikit sebanyak dia rasa ada kekuatan baru yang mengalir. Trauma kejadian lagi masih bermaharajalela di fikirannya. Syukri, sebenarnya kehadiran awak sama sekali tidak mengubah apa-apa. Cuma, hati saya rasa lebih tenang.

“Beg saya kena ragut dekat stesen ERL tadi. Saya pun tariklah balik beg tu tapi peragut tu rentap kuat sangat. Lepastu saya terjatuh dan nasib baik tak kena langgar dengan motor lain.” Gayanya macam kanak-kanak yang sedang mengadu coklatnya dicuri oleh kawan-kawan je. Muka macam nak menangis, suara pun tenggelam timbul. 

Sebenarnya tak ada lah sadis mana kena ragut tu sebab duit yang ada pun tak banyak. Tapi bila mengenangkan dokumen-dokumen penting yang ada dalam beg itu, dia mengeluh lagi. Ingat senang ke nak renew balik semua benda tu? Nak renew kad buku Popular tu pun kena pergi kedai dia semula tau. Inikan pula nak renew kad pengenalan yang kena buat laporan polis bagai.

“Kenapa pertahankan beg tangan tu? Kalau dia tendang atau tolak awak awak tadi, dah melayang awak tau.” Si suami tiba-tiba naik angin pula. Bukan niatnya nak marahkan Nurin, amarah itu sebenarnya hendak ditujukan kepada peragut yang entah siapa-siapa tu. Nampaknya, Nurin pula yang jadi sasaran.

“Sabar Encik Syukri. Bila kita berada dalam keadaan yang tak terduga macam ni, akal logik kita pun di luar kawalan. Mungkin Puan Nurin terkejut masa tu.” Doktor Aminah cuba menenangkan keadaan. Syukri meraup muka. Yang aku pun mengamuk tak memasal mi kenapa? Buat malu je.

“Saya akan bagi puan MC 2 hari dan Puan Nurin mesti berehat secukupnya. Encik tolong pantau kesihatan puan sebab saya rasa dia dalam keadaan trauma lagi. Luka-luka semua nurse dah cuci, jadi encik cuma perlu sapukan ubat sahaja.” Syukri mengangguk akur dengan pesanan si doktor yang sedang mencatit buku rekod kesihatan itu.

“Puan Nurin, kalau ada rasa tak sedap badan atau sakit di mana-mana bahagian, beritahu saya ye. Banyakkan berehat dan jangan banyak berfikir.” Senyuman manis doktor itu sedikit sebanyak menyedapkan hati Nurin Damia. Tak macam orang sebelah ni!

Usai membayar harga rawatan dan mengambil ubat di kaunter, Syukri kembali kepada Damia yang sudah siap sedia untuk keluar dari klinik tersebut. Tanpa sedar, tangannya dicapai untuk dipimpin. Damia berpaling kepada wajah orang sebelah yang kelihatan cukup selamba. Syukri cukup pandai menyembunyikan rasa. Malas hendak memberontak di tempat awam macam ni, lebih-lebih lagi dia sendiri tak ada kekuatan.

“Saya mintak maaf pasal tadi. Saya tak patut marahkan awak. Sebenarnya saya marahkan peragut tu, tapi terlepas pada awak pula.” Jujur dia meminta maaf. Damia menarik senyum. Faham!

“Tak apa. Saya pun salah jugak, bertindak tanpa berfikir.” Iye, betul kata Doktor Aminah. Bila kita tengok aksi mangsa ragut dalam tv, mesti banyak yang kita komen kerana tindakan bodoh yang dilakukan. Tapi bila jadi kat diri sendiri, hilang semua logik akal.

“Awak dah makan? Kita makan dulu ye? Balik nanti boleh terus rehat.” Damia senyum lagi sebagai tanda setuju. Dia tahu, yang lapar tu bukan dia, tapi Syukri. Ni kalau tak tukar baju kemeja lagi ni, mesti baru balik kerja. Bila baru balik kerja, mesti belum makan lagi. Haish, kau ni Mia! Sakit-sakit masih nak scan si Syukri ni.





Damia, makan ubat ni dulu sebelum tidur ye..” Lembut dia menegur Damia yang baru lepas mengaminkan doa. Nampak segar sikit isterinya tu daripada tadi. Bukan main nyenyak Damia tidur dalam kereta tadi. Bila sampai rumah, dia sambung pulak landing atas sofa di ruang tamu sampai pukul 12 tengah malam. Nak ajak solat berjemaah pun tak sampai hati. 

Beg plastik klinik di letak atas meja kopi bersama air suam. Mana nak cari suami mithali macam ni?

“Lain kali, saya akan hantar dan jemput awak dekat stesen ERL. Sebelum saya sampai, awak tunggu je saya dekat dengan kaunter tiket tu.” Jangankan hantar di ERL, kalau diminta hantar sampai ke KLCC pun dia sanggup. Asalkan Nurin Damia selamat.

Kenapa tiba-tiba dia berubah drastik macam tu? Rasa macam nak peluk-peluk pula buat teman tidur.

“Tak apa lah, nanti saya suruh Amirul hantarkan kereta saya. Kesian pulak dekat awak kena keluar awal nanti.” Damia cuba mengelak. Seboleh-bolehnya dia tak nak susahkan Syukri. Bukan dia tak tahu Syukri banyak kerja di pejabat. Tak macam dia, makan gaji lah katakan.

Walaupun waktu kerja dia bermula pukul 9, tapi dia kena keluar rumah pukul 7 pagi. Kalau sampai pejabat pukul 8 pagi, bolehlah dia balik pukul 5 petang. Waktu itu tak payah susah-susah berebut naik train. Tapi kalau balik lambat, boleh migrain dibuatnya. Walaupun waktu kerja mereka sama, tapi disebabkan jarak tempat kerja Syukri yang dekat dengan rumah, diia akan keluar dari rumah pukul 8.30 pagi.

“Janganlah degil. Kalau saya hantar awak awal, saya pun boleh balik awal dan tunggu awak kat stesen. Tak payahlah suruh Amirul pulangkan, biar je dia guna. Kereta Mazda saya kat bawah tu pun awak tak pernah sentuh.” Damia buat tak tahu dengan kata-kata Syukri itu.

Kenapalah Damia ni keras hati sangat. Padahal dah berkali dia beri izin. Bukan apa, kerja dia pun senang juga nanti, tak payah nak susah-susah panaskan enjin tu lagi.

“Dah, tak payah nak buat tak tahu pulak. Makan ubat cepat, lepastu boleh tidur.” Perlahan-lahan Nurin mendekati meja kopi dan labuhkan punggung di atas katil. Jauh sikit kedudukannya dengan ubat memandangkan ubat tu bersebelahan dengan Syukri. Belum sempat dia capai, Syukri dah ambil  dulu kemudian dia merapatkan diri ke arah Damia

“Sakit lagi ke ni? Macam tak bermaya je.” Hanya gelengan kepala saja diberi sebagai jawapan. Memang macam orang tak bermaya, dia cuma tunggu satu per satu ubat yang disua oleh Syukri untuk ditelan. Air pun Syukri yang pegang. Bukan dia tak larat pun tapi orang sebelah tu terlebih rajin lah pulak.

Selepas habis ubat-ubatan yang perlu dimakan, Damia duduk sekejap. Termenung, teringatkan peristiwa tadi. Kalaulah pemilik motor Lagenda tadi tak berhenti, mesti dah berkecai kepala dia di stesen itu. Alluhakbar! Besar sungguh kuasa-Mu. Terima kasih Allah.

Damia, buat apa lagi tu? Kan doktor dah cakap jangan banyak berfikir. Jom tidur.” Diraihnya bahu Damia perlahan-lahan. Entah kenapa, baru hari ini dia tunjuk apa yang dia rasa selama ini. Nurin juga tak banyak bunyi, diikutkan sahaja apa yang dipinta.

Jauh di sudut hati, Syukri memanjatkan rasa syukur kerana Allah masih meminjamkan Damia padanya. Macam mana kalau Damia pergi sebelum dia tahu apa yang aku rasa? Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku selama ini.

Damia ditarik ke dalam pelukannya. Dapat dirasa kelajuan jantung si isteri itu. 
Damia, saya minta maaf kalau selama ini saya tak pedulikan awak, tak jaga hati awak. Bukan senang saya nak berlakon macam tu sedangkan setiap minit saya nak sangat tahu awak ada dekat mana, tengah buat apa. Sengaja saya buat macam tak ambil tahu sebab saya takut awak buang saya macam dulu. Saya sayangkan awak, Nurin Damia. Saya tak nak awak sakit atau disakiti. Saya tahu saya tak layak dengan awak, tapi untuk kali ini, bagilah saya peluang untuk bertanggungjawab pada awak. Kalau awak tak mahu terima saya sebagai suami pun tak apa, saya dah tak peduli dah kena reject ke apa, yang saya tahu, saya cuma nak jaga awak.” Lega! Puas dia mencari kekuatan untuk mengaku apa yang dirasa.

Sedaya upaya dia menahan supaya tidak menangis. Biarlah hidung dah tersumbat pun. Biarkan mata memerah asalkan jangan menangis. Damia memerlukan pelindung ketika ini, bukan insan yang meratap dengan apa yang dah terjadi.

Damia menarik sedikit diri dari pelukan yang tenang itu. Bergenang air matanya mendengar luahan hati si suami. Dia juga sedar akan salah silapnya. Bukan salah Syukri, kalau bukan kerana sejarah lama itu, tak mungkin Syukri akan trauma untuk mendekatinya.

“Saya minta maaf, Syuk. Saya tau awak trauma dengan kisah silam kita. Saya tak pernah terasa hati sebab saya faham apa yang awak rasa. Demi Allah, sejak saya baca surat terakhir yang awak bagi, saya tak pernah lupakan awak walau sekali. Tak pernah sekalipun saya berhenti sayangkan awak sejak kita bernikah.” Akhirnya tumpah juga air mata lelaki itu. Tidak pernah dia menyangka perasaan Damia padanya terlalu dalam.

Dia tak pernah lupakan aku sejak dia dapat surat terakhir? Maksudnya 7 tahun yang lepas? Dan Nurin tak pernah berhenti sayangkan aku sejak bernikah? Ya Allah, apa sebenarnya yang ditanggung oleh Nurin selama ini?